Nak Beli Tanah Lot Tapi Takut Tersalah Beli. Semak 5 Tips Ini!

Sumber: https://www.ppim.org.my/duka-tanah-ghaib-harian-metro-2162017/

Awas, jangan tertipu dengan iklan tanah murah!

Ramai di kalangan kita yang merancang untuk menambah aset peribadi dengan memilih untuk membeli tanah. Membeli hartanah sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan yang menguntungkan jika kena caranya. Namun, yang menjadi ketakutan dalam ramai di kalangan kita adalah disebabkan promosi harga yang terlampau rendah yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada si pembeli.

Kami #teamMGR ingin berkongsi 5 panduan untuk anda membeli tanah.

1. Lokasi tapak 

Anda haruslah menyemak kedudukan lokasi tanah yang ingin dibeli. Pastikan kedudukan tanah tersebut adalah sama dengan maklumat yang diberi. Gunakan bantuan google maps ataupun anda sendiri turun ke site untuk melihat keadaan tanah tersebut.

Semak arah matahari, arah angin dan pemandangan sekeliling tapak.

2. Ukuran lot

Penting untuk anda menyemak ukuran lot. Pastikan ukuran lot di atas geran adalah sama dengan ukuran lot sebenar. Anda boleh lihat pada geran tanah tentang ukuran yang dinyatakan dalam meter (di garis sempadan).

Untuk anda yang bercadang untuk bina rumah di atas tanah tersebut, pastikan saiz minima lot adalah mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Mengikut PBT, saiz minima lot untuk kelulusan pelan adalah 50 kaki (15.2m) lebar x 80 kaki (24.3m) panjang. Manakala dari segi saiz binaan rumah maksimum yang boleh dibina adalah 30 kaki (9m) lebar x 50 kaki (15.2m) panjang.

Untuk tujuan bina banglo, saiz munasabah bagi sesuatu tanah lot bermula dari 4,000 kaki persegi hingga 15,000 kaki persegi. Jikalau saiz tanah lot banglo tersebut adalah kurang dari 4000 kaki persegi, kemungkinan tanah tersebut adalah tanah lot lidi.

Manakala jikalau saiz tanah melebihi 15,000 kaki persegi, berkemungkinan ia adalah “geran kongsi” yang tanahnya berstatus pertanian.

3. Geran individu & jenis tanah 

Anda juga perlu memastikan geran yang dijual adalah geran individu dan bukannya geran kongsi. Antara risiko-risiko membeli geran kongsi:

  • Anda tidak boleh mendapatkan pembiayaan pinjaman atau membuat cagaran kepada bank atau institusi kewangan.
  • Susah untuk anda menjual semula tanah tersebut di kemudian hari.
  • Pemilikan anda tidak sah disisi undang-undang.
  • Tiada pulangan pelaburan yang sepatutnya.

Dari segi jenis tanah, anda harus menyemak status tanah sama ada status tanah tersebut masih pertanian atau telah ditukar kepada status kediaman/pembangunan.

Juga, anda perlu menyemak sama ada tanah yang akan dibeli itu dari jenis freehold (pajakan kekal), leasehold (pajakan sementara 99 tahun), tanah rizab melayu atau bebas.

4. Kemudahan asas lengkap

Pastikan tanah lot banglo yang akan anda beli mempunyai kelengkapan infrastruktur asas seperti jalan masuk, bekalan air dan elektrik, sistem pemparitan dan sebagainya.

Elakkan dari membeli tanah lot banglo tersebut jika tidak dilengkapi dengan kemudahan asas walaupun harga yang ditawarkan cukup rendah. Ini kerana kos untuk pembangunan kelengkapan infrastruktur asas ini menelan belanja yang tinggi.

Dalam erti kata lain, anda perlu elakkan dari membeli tanah di kawasan yang belum diteroka sekiranya tujuan anda adalah untuk membina kediaman.

Pastikan juga kawasan tersebut berdekatan dengan kemudahan awam seperti masjid, sekolah, bank, kedai runcit, petrol pam dan pasaraya.

Dan jika boleh, elakkan dari membeli tanah di kawasan-kawasan perindustrian, kawasan pencawang eletrik, dan kawasan penternakan. Biasanya kawasan-kawasan begini akan menyebabkan masalah kebersihan akibat pembuangan sampah dan loji najis, selain boleh menyebabkan masalah pencemaran bunyi dan kesihatan.

5. Permukaan tanah rata dan cerun

Kalau boleh, anda elakkan membeli tanah di kawasan lereng bukit tinggi dan tepi sungai atau laut. Ini kerana ianya nanti akan mempengaruhi reka bentuk desain rumah yang akan anda bina dan ianya melibatkan kos pembinaan yang tinggi.

Semoga panduan-panduan ini dapat membantu anda dalam mendapatkan tanah lot yang sesuai.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anda perlukan bimbingan daripada kami?

Dapatkan konsultasi percuma & sebut harga di MGR